Artikel

KWSP: Hanya 2.65 Juta Pencarum – Capai Paras Simpanan Asas RM240,000 Setakat Oktober 2024

Setakat akhir Oktober lalu, didapati daripada 7.33 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – seramai 2.65 juta pencarum iaitu mewakili 36.7% telah berjaya mencapai sasaran simpanan asas sebanyak RM240,000.

Rekod ini menunjukkan berlakunya peningkatan kumpulan yang miliki simpanan asas pencen, berbanding tahun 2022 dengan hanya 2.21 juta (30.4%) daripada 7.25 juta ahli aktif berjaya mencapai paras simpanan asas.

Data KWSP ini menjelaskan, antara faktor yang mendorong rekod tersebut adalah kerana struktur gaji yang lebih rendah diperolehi pencarum, umur yang layak untuk melaksanakan pengeluaran penuh KWSP adalah 55 tahun di mana tidak selaras dengan umur persaraan di pasaran Malaysia iaitu lebihi 60 tahun. Diikuti faktor caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan yang masih rendah menyebabkan kurangnya kesedaran akan kepentingan simpanan hari tua kalangan rakyat negara.

Buat pengetahuan umum, dengan pencapaian simpanan asas RM240,000 pada usia 55 tahun ini – ia dianggarkan dapat membantu pesara untuk menjalani 20 tahun kehidupan pencen dengan kadar RM1,000 sebulan.

Biarpun rekod pencapaian simpanan asas semakin meningkat, diakui jumlah simpanan persaraan yang lebih besar diperlukan secara berkala kelak susulan jangkaan berlakunya peningkatan kos pada pasaran hadapan. Setakat ini sahaja, KWSP dapati purata pengeluaran bulanan yang dilakukan oleh pesara berusia 55 tahun hingga 75 tahun bagi tempoh 20 tahun adalah sekitar RM1,697.

Ini bermakna untuk bersara dengan lebih selesa, paras simpanan RM240,000 tidak lagi memadai –pencarum memerlukan sekurangnya sekitar RM408,000 simpanan asas untuk pencen dengan tenang bagi tempoh 20 tahun.