Artikel

8 Kementerian Akan Lalui Program Rintis Guna EV – Sebagai Kenderaan Jabatan, Kenderaan Rasmi Jawatan

Selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) kalangan rakyat Malaysia, kenderaan rasmi kerajaan turut dilihat komited untuk beralih menggunakan EV mulai tahun hadapan, 2025.

Kerajaan menjangkakan sekurang-kurangnya 50% kenderaan kerajaan baharu kelak akan menggunakan BEV – Battery Electric Vehicle ataupun kenderaan hibrid pada penggunaan urusan rasmi negara. Peralihan itu mengikut notis Parlimen minggu ini adalah selari dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) yang telah digariskan sebelum ini.

Bagi mencapai sasaran itu, terdapat rancangan untuk mewujudkan program rintis ke atas 8 kementerian bagi tempoh 6 bulan hingga 8 bulan berhubung penggunaan EV. Fasa rintis ini menurut MOF bertujuan membantu kerajaan lebih memahami akan keberkesanan EV sebagai Kenderaan Jabatan (KJ) dan Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) kelak.

Namun pelaksanaan program rintis tersebut masih diperingkat semakan dan diberi jaminan kos program tidak akan alami pertambahan dan hanya menggunakan peruntukan sedia ada sahaja.