Artikel

Tahap Sejahtera Rakyat Malaysia Naik 0.7%, Namun Persekitaran Kerja Didapati Alami Penurunan – DOSM

Tahap kesejahteraan rakyat Malaysia kini memperlihatkan peningkatan, apabila semakin bertambah-baik dengan kenaikan 0.7% kepada 121.3 mata bagi tahun 2023. Menerusi peningkatan ini, ia membawa kepada lonjakan 21.3 mata indeks sepanjang tempoh 23 tahun.

Prestasi ini menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) didorong akan penambahbaikan dalam aspek ekonomi iaitu kesejahteraan pengangkutan naik 2.4%, pendidikan (0.8%), dan komunikasi (0.2%). Termasuklah peningkatan pada segmen sosial yang memperlihatkan peningkatan kesejahteraan pada hab kebudayaan (6.0%), hiburan dan rekreasi (2.2%), keluarga (2.2%), penyertaan sosial (1.2%), tadbir urus (1.0%) dan kesihatan (0.8%).

Akan tetapi, tahun 2023 memaparkan prestasi kesejahteraan dalam persekitaran kerja menurun sebanyak -0.6%, diikuti pendapatan dan pengagihan (-0.1%). Situasi ini didorong kesan peningkatan kadar kemalangan yang berlaku dalam perusahaan dan perjalanan serta disebabkan peningkatan pada pertikaian dalam perusahaan.

Ia sekaligus membawa kepada penurunan kesejahteraan persekitaran kerja di Malaysia pada 2023.

Sementara mengikut taburan negeri pula, Perlis terus menjadi negeri yang merekodkan tahap kesejahteraan yang tinggi dengan kenaikan 1.4%, diikuti Johor (1.0%) dan Pahang (0.5%). Manakala tiga negeri yang memaparkan tahap sejahtera yang rendah pula adalah Sabah (-2.2%), Wilayah Persekutuan (-0.8%) dan Pulau Pinang (-0.7%).