Artikel

Malaysia Akan Memantau Perkembangan Ancaman Trump Kenakan 100% Tarif Ke Atas BRICS – MITI

Selaku sebahagian negara rakan kongsi BRICS, Malaysia memaklumkan akan memantau secara berkala berhubung tekanan tarif yang berpotensi dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas negara anggota BRICS.

Pengenaan tarif itu untuk makluman adalah penegasan yang disuarakan oleh Donald Trump yang gusar akan kebarangkalian negara anggota BRICS dalam mewujudkan sistem kewangan baharu, yang secara langsung akan mengurangkan kebergantungan pada mata wang dolar AS di pasaran.

Meskipun pengenaan tarif ini ditegaskan ke atas negara anggota semata, namun tindakan penelitian yang diambil Malaysia ketika ini menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul pada sidang CPTPP – adalah sebagai langkah berjaga berikutan terdapat potensi pengenaan tersebut turut memberi kesan kepada pasaran lain.

Berteraskan konsep dasar ekonomi terbuka, MITI percaya penyertaan Malaysia dalam platform perdagangan pelbagai hala adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup serta kelas ekonomi bagi mengekalkan kesejahteraan rakyat di masa hadapan.