Artikel

Seramai 1.6 Juta Pencarum KWSP Yang Berusia 40-54 Tahun – Kini Miliki Simpanan Bawah RM10,000

Ternyata seramai 1.6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 40 tahun ke atas dan belum mencapai usia 55 tahun – didapati memiliki simpanan persaraan kurang daripada RM10,000. 

Kedudukan ini secara jelas mencerminkan terdapat ramai pencarum negara akan berdepan kesukaran untuk bersara dengan selesa kelak.

Jumlah ini menurut Kementerian Kewangan (MOF) mewakili 33% daripada 4.9 juta pencarum bagi kategori usia tersebut. Berdasarkan jumlah itu, didapati 1.4 juta (88%) adalah ahli tidak aktif dan tidak mempunyai sebarang caruman bagi tempoh 12 bulan terakhir setakat Ogos lalu.

Biarpun tidak memperincikan faktor yang mendorong akan jumlah persaraan yang lebih rendah itu, KWSP memaklumkan terdapat beberapa insiatif yang boleh diakses oleh pencarum untuk meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka. Antaranya Caruman Sukarela, serta pemberian insentif 15% pada program i-Saraan bagi meningkatkan caruman pekerja secara berkala dengan mudah. 

Selain itu, KWSP turut melancarkan kempen Jom Tambah, Simpan Baik-Baik sejak Januari 2023 lalu bagi merancakkan lagi tindakan caruman sukarela bersama kumpulan pencarum di seluruh Malaysia.