Artikel

CIMB Bantu Kanak-Kanak Palsi Serebrum – Menerusi Pengenalan Kad Debit Visa Baharu Berasaskan Bahan Kitar Semula

Bersempena Hari Orang Kurang Upaya yang diraikan hari ini – CIMB bersama Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), kini melancarkan kad debit VISA baharu mereka dengan menyasarkan sumbangan RM2 bagi setiap kad debit yang dikeluarkan di pasaran kelak. 

Tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha meluaskan komitmen kelestarian CIMB bersama komuniti di Malaysia. Di mana tinjauan dapati lebih 81% keluarga yang mempunyai ahli keluarga dengan palsi serebrum tergolong dalam kumpulan B40. Keluarga yang menjaga individu palsi serebrum sering berdepan kesukaran berkaitan pendidikan khas, penjagaan kesihatan, kesejahteraan hidup, serta keperluan terhadap peralatan rehabilitasi khas yang melibatkan kos tinggi.

Maka dengan sokongan CIMB, menerusi sokongan pembiayaan peralatan rehabilitasi dan aktiviti pemerkasaan ini ia dijangka akan meringankan bebanan mereka secara signifikan.

Tidak hanya komitmen kelestarian, pengenalan kad debit Visa baharu ini turut menjadi yang pertama dihasilkan menggunakan PVC kitar semula yang diperbuat daripada bahan-bahan pasca industri. Ia sekaligus memperlihatkan usaha CIMB dalam meluaskan lagi penggunaan kad debit berteraskan bahan-bahan yang lebih lestari dalam produk kewangan mereka.