Artikel

Dasar Wajibkan Pendidikan Sekolah Menengah Kini Disemak – Depani Isu Keciciran Pelajar

Bagi memajukan sesebuah negara, sektor pendidikan dilihat miliki peranan yang penting dalam membantu negara menyeimbangkan struktur ekonomi di pasaran semasa. Tumpuan ini tidak sekadar memberi manfaat kepada ekonomi tetapi turut menangani isu keciciran yang sedang berlaku pada sektor pendidikan. Memahami cabaran itu, Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam usaha melanjutkan Dasar Pendidikan Wajib di peringkat sekolah menengah.

Seperti yang umum ketahui, ketika ini Dasar Pendidikan Wajib di Malaysia hanya mewajibkan perolehan pendidikan selama 6 tahun iaitu melibatkan pendidikan sekolah rendah sahaja.

Maka menerusi lanjutan tersebut, terdapat usaha untuk mewajibkan perolehan pendidikan kanak-kanak sehingga peringkat menengah iaitu perolehan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jelas KPM pada nota lisan Parlimen semalam, cadangan tersebut telahpun dibentang dan secara dasarnya telah mencapai persetujuan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun 2024 lalu.

Adanya lanjutan ini, ia akan melibatkan pindaan kepada Akta Pendidikan 1996. Setakat ini draf pindaan RUU Pendidikan berkaitan lanjutan Dasar Pendidikan Wajib tersebut telah disediakan oleh kementerian dan kini dalam semakan di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebagai penjelasan lanjut, Dasar Pendidikan Wajib di Malaysia telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2003 – di mana dasar ini menuntut setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mestilah mendaftarkannya di sekolah rendah. Di samping itu juga, ibu bapa perlu memastikan anak yang didaftarkan akan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan rendah.

Kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikut pendidikan wajib merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Kumpulan Ibu bapa berpotensi disabitkan dengan hukuman denda tidak lebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.