Artikel

RHB, CIMB Umum Beri Moratorium 6 Bulan Kepada Mangsa Banjir

Selain Maybank, perbankan RHB dan CIMB turut tampil kehadapan menyediakan pelan bantuan banjir buat pelanggan individu dan perusahaan PKS yang terjejas.

CIMB pada kenyataan minggu lalu memperincikan pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama mikro PKS boleh laksana pelepasan bayaran 6 bulan berhubung pinjaman dan pembiayaan bersama CIMB. Tindakan ini bertujuan meringankan bebanan kewangan tatkala menyeimbangkan kos kerugian yang didepani kumpulan pelanggan kesan isu banjir.

Tidak hanya itu, caj serta yuran lewat pembayaran turut akan dikecualikan ke atas kumpulan pelanggan mangsa banjir.

Langkah yang sama turut dilaksanakan RHB Bank, apabila menjelaskan penangguhan pembayaran selama 6 bulan turut diberi kepada pelanggan mereka sehingga Jun 2025 kelak. Ia merangkumi Pembiayaan Perumahan, Pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi Pembiayaan-i, Pinjaman Peribadi, dan Pembiayaan Sewa Beli. 

Malah pengecualian caj sepertimana CIMB iaitu caj lewat bayar juga dikecualikan bersama caj faedah kad kredit sehingga RM500 turut akan dikecualikan.

Penawaran sedemikian turut melibatkan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM, kad debit serta kad kredit di cawangan perbankan yang berdekatan. Malah penyediaan dana bencana untuk PKS turut disediakan bagi menyokong operasi memulihkan semula premis perniagaan mereka secara berkala.

Maka untuk langkah seterusnya, semua pengguna mangsa banjir boleh layari laman RHB Bank dan CIMB bagi ketahui perincian lanjut berhubung pelan bantuan banjir.