Penerapan kadar gaji minimum yang lebih tinggi iaitu paras RM1,700, bersama pelarasan naik gaji penjawat awam dan pelaksanaan subsidi RON95 yang bakal dijalankan pada pasaran negara kelak – berpotensi meningkatkan paras inflasi di Malaysia, kepada 2.7% menjelang tahun 2025.
Faktor ini mengikut tinjauan Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut didasari akan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sebilangan produk serta perkhidmatan premium.
Tidak hanya itu, usul pengenaan tarif bersama dasar imigresen yang sedang diteliti Amerika Syarikat (AS) diperhatikan turut berupaya meningkatkan lagi tekanan harga di peringkat dunia. Situasi itu secara tidak langsung akan membawa kesan kepada negara berikutan dasar ekonomi terbuka yang diterapkan Malaysia.
Setakat ini, paras inflasi Malaysia masih lagi konsisten pada paras 1.9% hingga 2.0%. Di mana angka ini lebih rendah berbanding beberapa negara rantau yang lain. Namun negara perlu akui, tekanan kos makanan terus didepani semua negeri ketika ini, biarpun paras inflasi masih lagi terkawal.