Artikel

Hampir 630,000 Akaun Pengguna TNB Dipotong – Berdepan Tunggakan Lebih RM1 Bilion 

Setakat September lalu, didapati sejumlah 627,491 akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam proses pemotongan bekalan elektrik – susulan berdepan tunggakan sekitar RM1,008,771,447.78.

Perkongsian data pada sidang Parlimen ini, jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu. Hanya 464,076 akaun berdepan tunggakan pada pembayaran bekalan elektrik mereka.

Peningkatan ini antara lain didorong kesan berdepan kekangan kewangan dan kumpulan pengguna yang bersikap tidak bertanggungjawab untuk penuhi komitmen pembayaran tepat pada waktunya.

Berdasarkan data itu mengikut taburan negeri, Selangor menjadi negeri yang tertinggi miliki rekod akaun pengguna TNB yang dipotong. Diikuti Kuala Lumpur, Perak, Johor dan seterusnya Terengganu. Secara menyeluruh TNB ketika ini memiliki seramai 10.4 juta pengguna – di mana 8.5 juta pengguna adalah domestik dan 1.9 juta pengguna pula bukan domestik.