Artikel

Maybank Untung RM7.56 Bilion – Prestasi Naik 8.5% Sepanjang 9 Bulan Pertama 2024

Maybank, bank ke-4 terbesar di Asia Tenggara kini terus mempamerkan prestasi yang stabil apabila mencapai untung bersih sebanyak RM7.56 bilion bagi tempoh 9 bulan tahun ini. Prestasi itu menunjukkan berlaku peningkatan 8.5% berbanding prestasi kewangan tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu RM6.96 bilion.

Antara yang mendorong pertumbuhan kukuh ini adalah prestasi yang baik pada pendapatan bukan faedah, peningkatan fi teras dan prestasi insurans.

Sementara pendapatan operasi bersih pula meningkat 8.7% secara tahunan kepada RM22.15 bilion. Walaupun perolehan lebih baik dicapai, Maybank akui berlakunya peningkatan kos dalam perbelanjaan operasi pada tempoh semasa. Ia meliputi kos kakitangan, perbelanjaan teknologi, pentadbiran, kos am serta perbelanjaan pemasaran yang dilihat lebih tinggi.

Biarpun berdepan peningkatan kos, keuntungan operasi praperuntukan kumpulan dimaklumkan tidak terjejas dan kekal meningkat sebanyak 7.2% secara tahunan kepada RM11.38 bilion.