Artikel

74.4% Firma Jangka Kekalkan Jumlah Pekerja – Yakin Perniagaan Di Malaysia Terus Rancak

Persekitaran perniagaan di Malaysia dijangka akan terus rancak, berikutan tahap keyakinan para peniaga kini telah meningkat 4.8% bagi jangkaan prestasi perniagaan untuk tempoh 3 hingga 6 bulan mendatang – iaitu sehingga Mac 2025 kelak.

Melihat ke hadapan, data di bawah Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Keempat 2024 (DOSM) ini menjelaskan – semua sektor berpotensi meraih perspektif perniagaan yang lebih cerah. Di mana sentimen pada sektor Perkhidmatan kekal positif dengan imbangan bersih meningkat 27.5%. Diikuti sektor Perdagangan Borong dan Runcit pula optimis bersama imbangan bersih 16.7%, sektor Pembinaan (16%), dan sektor Industri (4.3%).

Tahap keyakinan ini secara langsung membawa kepada jangkaan yang lebih baik dalam perolehan hasil. Sekitar 32.7% firma optimis hasil kasar mereka berupaya meningkat pada suku kempat 2024 ini.

Sementara pada taburan jumlah pekerja pula, 74.4% peniaga menjangkakan akan kekalkan jumlah pekerja mereka sehingga suku keempat 224 ini, disusuli 16.1% pula jangka mengambil lebih ramai pekerja dan 9.5% pula menyasarkan untuk mengurangkan bilangan pekerja.

Menerusi dinamik ramalan prestasi perniagaan tersebut, disasar pertumbuhan ekonomi negara akan terus mengukuh menjelang 2025 kelak. Ia didorong hasil permintaan semasa, perluasan akses digital serta pengenalan sokongan dasar ekonomi negara yang dijangka akan direalisasikan pada tahun hadapan.