Maybank kini memaklumkan had bayaran untuk perbankan atas talian pengguna akan ditetapkan semula kepada had baru – bermula 5 Disember 2024 ini. Perubahan itu antaranya akan melibatkan had bayaran ke atas bil produk dan perkhidmatan Maybank, pembayaran zakat dan lain-lain serta JomPay.
Penetapan semula ini adalah sebahagian daripada ciri keselamatan untuk membantu mengurangkan risiko pada kes melibatkan pmindahan wang atas talian tanpa kebenaran. Ia juga untuk memastikan pengalaman perbankan atas talian pengguna terus terjamin dan lebih cekap.

Pada penetapan semula itu, Maybank memaklumkan pengguna turut boleh menukar dan meningkatkan had harian pembayaran mereka pada laman web Maybank2u dengan pergi ke bahagian Tetapan > pilih Bayar & Hantar > seterusnya ketik bahagian Had Pemindahan. Tindakan perubahan ini meliputi pembayaran yang dilakukan di Maybank2u serta aplikasi MAE.
Setelah melaksanakan langkah itu, maka pengguna perlu lalui tempoh bertenang selama 12 jam untuk setiap permintaan meningkatkan had pembayaran. Biarpun perlu laksana tempoh bertenang, para pengguna masih boleh membuat pembayaran dengan had semasa sepanjang tempoh bertenang 12 jam itu diproses.
Ini bermakna had baru pembayaran pengguna akan berkuatkuasa setelah tempoh bertenang 12 jam tersebut selesai. Menerusi makluman ini, diharap semua pengguna peka akan penetapan semula yang dilaksanakan Maybank kelak.