Artikel

Sistem Tol Tanpa Palang: 13 Syarikat Konsesi Masih Belum Setuju

Sistem Tol Tanpa Palang (MLFF) yang akan dibangunkan di Malaysia kini diperincikan masih dalam rundingan bersama 33 syarikat konsesi lebuhraya. 

Rundingan pelan tersebut bagaimanapun hanya dapat dimuktamadkan sehingga 16 Disember 2024 kelak. Jelas Kementerian Kerja Raya (KKR), setakat ini 20 konsesi dalam fasa rundingan sementara 13 konsesi lagi masih belum bersetuju akan penggunaan sistem tersebut. 

Ini kerana pembangunan sistem tersebut memerlukan sebilangan akta dipinda antaranya adalah isu membabitkan kawalan ke atas kumpulan pemandu yang tidak melunaskan bayaran tol. Pada sistem tol semasa, direkodkan hanya 0.01% sahaja kumpulan pemandu tidak membayar tol – kumpulan ini kebiasaanya dikaitkan dengan tailgating iaitu mengekori rapat di belakang kenderaan. 

Namun jika sistem tol tanpa palang ini dilaksanakan, maka jumlah kumpulan ini akan meningkat dan keperluan akta untuk mengatasinya harus tersedia pada tempoh tersebut. 

Selain ke arah memuktamadkan pelaksanaan MLFF ini, pentadbiran juga memaklumkan akan menambah Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT), bagi membolehkan perluasan akses membayar tol menggunakan kad kredit, kad debit dan prepaid. Usaha itu berupaya melancarkan aliran trafik dan tingkatkan kecekapan proses pembayaran tol.