Sejak 28 Oktober lalu, TikTok telah memaklumkan sejumlah pengguna Malaysia kini telahpun menerima ciri pembayaran baharu iaitu TikTok PayLater. Bersama penawaran tersebut, akses kredit itu berupaya mencapai had sehingga RM10,000 dengan aturan ansuran sehingga 12 bulan.
Menerusi pengaktifan ciri tersebut, TikTok menjelaskan ia akan diperluaskan secara berperingkat dan untuk fasa awal – pengguna yang meraih ciri ini adalah antara kumpulan yang mengemaskini aplikasi dan telah mendaftar penggunaan akaun TikTokPayLater serta memperolehi pengesahannya.
Meskipun penawaran ini antara lain memberi kemudahan buat pengguna dalam berbelanja pada platform e-dagang namun pengenalan TikTok PayLater tidak diperjelaskan sama ada patuh-syariah ataupun tidak. Tetapi berdasarkan penjelasan lain, ciri ini tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan ke atas peniaga akan penggunaannya.
Melihat pada perluasan akses tersebut, ia secara langsung akan merancakkan lagi aliran perbelanjaan ke atas pengguna TikTok Malaysia secara berkala. Buat pengetahuan umum, setakat Januari 2023, Malaysia direkodkan memiliki 19.3 juta pengguna aktif pada platform TikTok.