Artikel

34% Rakyat Malaysia Akui Mencari Pekerjaan Lebih Sukar, Berbanding Mencari Pasangan – Jobstreet

Ternyata mencari pekerjaan yang tepat dan bersesuaian dengan bidang yang dipelajari adalah lebih sukar berbanding mencari pasangan hidup. Itulah kenyataan yang digambarkan oleh 34% rakyat Malaysia pada tinjauan pasaran pekerjaan bersama Jobstreet by SEEK.

Cabaran tersebut bukan hanya melibatkan bidang yang dipelajari, bahkan keperluan pengalaman dan kemahiran khusus juga turut menyukarkan lagi perolehan pekerjaan yang diinginkan.

Peratusan yang lebih besar telah diperlihat pada kumpulan graduan negara, yang baharu sahaja ingin memulakan dunia kerjaya mereka. Di mana dua pertiga (63%) rakyat Malaysia akui lebih sukar mencari pekerjaan setara kemahiran ketika awal memasuki pasaran pekerjaan. Daripada jumlah itu hanya 18% pekerja sahaja dilaporkan berjaya meraih pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran mereka pada pasaran semasa ketika ini. 

Meskipun tidak berpuas hati akan peluang pekerjaan yang diraih – Jobstreet mendapati tindakan untuk mencari pekerjaan baharu dilihat semakin berkurangan seiring dengan usia kumpulan pekerja. Sebagai perincian, sekitar 55% pekerja berusia 24 tahun menyatakan ketersediaan mereka untuk mencari pekerjaan dalam tempoh setahun jika peranan pekerjaan tidak selari dengan kemahiran yang dimiliki.

Namun peratusan itu semakin berkurangan apabila hanya 35% pekerja berusia 25 tahun sehingga 34 tahun bersedia untuk mencari peluang pekerjaan baharu. Diikuti hanya 26% sahaja pekerja berusia 45 tahun sehingga 54 tahun berbuat tindakan tersebut.