Artikel

Bank Islam Kini Perkenal Aplikasi Perbankan Baharu, BIMB – Beralih Dari Aplikasi GO

Sekiranya sebelum ini aplikasi GO oleh Bank Islam menjadi medium kepada pengguna negara – hari ini, Bank Islam Malaysia secara rasminya hadir dengan muka baharu pada aplikasi perbankan mereka dengan pengenalan aplikasi BIMB Mobile.

Selain pengenalan baharu pada aplikasi perbankan, laman web perbankan BIMB turut berwajah baharu.

Pelancaran itu secara langsung memaparkan komitmen Bank Islam dalam menaiktaraf perkhidmatan atas talian mereka bersama pengguna. Ini tidak sekadar meningkatkan kecekapan urus-niaga bahkan turut menambahbaik tahap keselamatan ke atas pengguna. Ia bermakna para pengguna kini boleh nikmati kemudahan aplikasi yang moden serta cekap bagi setiap transaksi yang dilaksanakan merangkumi transaksi asas, DuitNow, JomPay, serta Penghantaran Pantas (Quick Transfer).

Menerusi pengenalan itu, bagi pengguna sedia ada – Bank Islam memaklumkan peralihan aplikasi GO by Bank Islam kepada BIMB Mobile boleh dilaksanakan secara terus pada aplikasi GO.

Dengan menekan butang mengemaskini aplikasi, pengguna sedia ada akan terus dapat memuat turun aplikasi BIMB Mobile dan boleh mengetik pilihan Existing Bank Islam User. Setelah melengkapkan maklumat diri dan akaun bank maka pengguna sedia ada boleh memulakan pengalaman aplikasi perbankan baharu bersama BIMB Mobile.

Langkah tersebut secara mudah turut boleh dilaksanakan secara terus oleh semua pengguna telefon pintar dengan memuat turun aplikasi BIMB Mobile melalui Playstore, Appstore atau HuaweiAppGallery anda. Sebarang maklumat lanjut semua pihak boleh layari laman rasmi Bank Islam untuk perincian seterusnya.