Artikel

Kad Lesen Memandu Fizikal Mungkin Perlu Dibayar – Mulai Tahun 2025

Sejak inisiatif pendigitalan dilaksanakan ke atas perlesenan kenderaan di negara pada Februari 2023 – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan pelbagai penjimatan diraih pihak berkuasa. Tidak sekadar penjimatan masa dalam urusan rasmi tetapi penjimatan kos pada tindakan pencetakan. 

Jelas MOT pada sidang Parlimen hari ini, transaksi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan kini telah mencapai 1 juta transaksi bersama nilai RM121 juta setakat September 2024 lalu. 

Namun pihaknya akui masih terdapat kumpulan pemegang lesen yang menuntut keperluan lesen fizikal untuk tindakan dokumentasi. Menyedari tuntutan itu, MOT memaklumkan awal tahun hadapan satu inisiatif akan diumumkan ke atas kumpulan tersebut. Di mana pilihan pencetakan kad fizikal lesen memanduakan diberi dan berkemungkinan perlu dibayar berikutan melibatkan kos pencetakan. 

Pada penjelasan itu, MOT menegaskan usaha pendigitalan akan terus dipacu pentadbiran negara dengan penambahbaikan secara berkala pada aplikasi MyJPJ untuk kemudahan awam.