Artikel

Airbnb: Pelancong Solo Ke Malaysia Kini Semakin Meningkat – Naik 27% Bagi 6 Bulan Pertama 2024

Selaras dengan persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak, negara kini memperlihatkan aliran kemasukan pelancong yang positif bersama kemasukan 16.45 juta pelancong, membawa kepada peningkatan 29.5% setakat Ogos 2024 lalu. Lonjakan itu turut diakui Airbnb, di mana sepanajng 6 bulan 2024 sahaja, dinamik penginapan mereka telah memaparkan kenaikan sekitar 30%.

Peningkatan ini didorong hasil destinasi pelancongan domestik yang popular – melibatkan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Melaka. Dan untuk makluman KL telah menjadi bandar kedua paling kerap dikunjungi pada pasaran Asia Tenggara bagi 6 bulan pertama 2024.

Lebih menarik dinamik kategori pelancong ke Malaysia dilihat tertumpu kepada pelancong secara berkumpulan yang telah berkembang mewakili hampir 35% bagi 6 bulan pertama 2024. Peratusan itu secara jelas memperlihatkan Malaysia antara destinasi pilihan untuk aturan perkumpulan dan mesra-keluarga.

Selain itu, peningkatan pelancong solo di Malaysia turut memaparkan kenaikan secara berkala – Airbnb mendapati kumpulan ini telah meningkat sekitar 27% pada tempoh yang sama.

Melihat pada prestasi yang membrangsangkan ini, ia sekaligus memberi cerminan persediaan Malaysia dalam merealisasikan Tahun Melawat 2026 adalah dilandasan yang tepat dan berpotensi memberi pulangan yang baik buat sektor ekonomi setempat kelak.