Sekurang-kurangnya lebih 2 kali mangsa scam di Malaysia berdepan isu penipuan berulang melibatkan penipuan kewangan secara atas talian. Situasi itu secara langsung menjadikan Malaysia antara negara tertinggi di Asia, merekodkan jumlah mangsa scam berulang.
Laporan Asia Scam Report 2024 di bawah Global Anti-Scam Alliance ini menjelaskan, selain penduduk negara – Hong Kong dan Thailand turut menjadi negara Asia selanjutnya yang berdepan jumlah mangsa scam berulang tinggi.
Pada pengamatan kajian tersebut terdapat kebimbangan berhubung tahap kesedaran mangsa semasa – didapati sebilangan pihak kekal memiliki kemampuan yang rendah dalam membezakan keadaan penipuan berlaku khususnya jika melibatkan sokongan seperti kecerdasan buatan (AI). Tidak hanya itu, segelintir pihak juga gagal membezakan sumber yang diperolehi mereka meskipun terdapat penegasan pihak berkuasa tidak akan bertindak sebagaimana yang dilaksanakan pihak scammer.
Lebih membimbangkan, jumlah mangsa scam di Malaysia dijangka adalah lebih tinggi susulan masih terdapat pihak tidak melaporkan tindakan tersebut. Menurut GASA, sekitar 35% berpendapat langkah tersebut bukanlah tanggungjawab mereka dan 33% pula merasakan proses melaporkan adalah menyukarkan, sementara 24% pula akui tidak tahu saluran rasmi untuk melaksanakan aduan berhubung penipuan yang didepani.