Artikel

15% Rakyat Malaysia Masih Cenderung Kongsi Kata Laluan, Butiran Akaun Bank Bersama Kenalan – BNM

Siapa sangka lebih 10 tahun lalu, urus niaga kewangan negara masih lagi bergantung kepadaa sistem tradisional – kini dinamik tersebut telah alami perubahan ketara susulan perkembangan teknologi dan digital semakin meluas pada perkhidmatan kewangan semasa.

Namun situasi ini tidak sekadar meningkatkan kecekapan, tetapi turut melonjakkan risiko ke atas pengguna sekiranya tidak laksana langkah keselamatan yang proaktif. Tahukah anda, ketika ini masih terdapat 15% rakyat negara yang cenderung berkongsi kata laluan serta butiran akaun bank mereka bersama kenalan rapat? Dapatan hasil tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Laporan Tahunan Kewangan 2024 (FCI 2024) ini secara jelas menunjukkan masih ramai penduduk negara tidak peka akan tindakan sedemikian.

Tindakan itu berupaya membawa kepada pendedahan penipuan kewangan di masa hadapan. Ia merangkumi penipuan libatkan kecerdasan buatan (AI), palsu tulen (deepfake) serta serangan siber. Ia kerana, ketika ini sahaja didapati 92% rakyat Malaysia telahpun menggunakan perkhidmatan kewangan digital.

Tidak hanya itu, lebih 60% rakyat Malaysia juga didapati tidak memberikan perhatian pada ciri keselamatan laman web sebelum membuat sebarang transaksi kewangan digital. Kealpaan tersebut menyebabkan kumpulan ini terdedah akan risiko penipuan kerana berpotensi memuat turut fail APK yang mengandungi perisian hasad atau virus yang selanjutnya membolehkan butiran peribadi mereka terdedah kepada penipu kewangan.

Biarpun peratusan itu secara jelas menunjukkan angka yang tinggi, hanya 29% daripada mangsa penipuan melaporkan peristiwa penipuan tersebut kepada pihak berkuasa. Antaranya kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melihat pada corak tingkah laku pengguna, BNM akui masih ramai pihak yang tidak tampil kehadapan dan melaporkan isu penipuan tersebut, ini menunjukkan tahap pendidikan kewangan harus diperkasakan lagi. Tidak sekadar di peringkat pekerja bahkan di peringkat sekolah juga perlu dipergiatkkan.