Tekanan ekonomi semasa tidak sekadar memberi bebanan ke atas kumpulan pekerja berusia, berkeluarga dan warga emas – tetapi ia turut memberi kesan kepada golongan belia di Malaysia. Tahukah walaupun paras gaji minimum telah alami peningkatan beberapa tahun kebelakangan ini, namun aturan itu tidak memberi kesan kepada peningkatan purata gaji permulaan buat graduan negara.
Mengikut tinjauan Khazanah Research Institute (KRI), setakat 2021 sahaja didapati 60% graduan baharu menerima gaji bawah RM2,000 pada pada pekerjaan pertama mereka disusuli satu pertiga graduan yang berpengalaman terus kekal dalam situasi ketidakpadanan kerjaya.
Persekitaran ini secara jelas tidak membantu golongan belia negara dalam melunaskan hutang pinjaman mereka apatah lagi untuk laksana simpanan. Tambahan peningkatan kos semasa juga turut membawa kepada tindakan pertambahan hutang antaranya seperti pinjaman peribadi, kereta dan rumah.
Selain itu, setelah memasuki pasaran pekerjaan KRI dapati keutamaan belia dalam melunaskan pinjaman hutang juga berbeza – di mana mereka lebih mengutamakan pinjaman kenderaan barulah pendidikan. Namun tabiat itu terus berubah sekiranya komitmen saluran pinjaman terus meningkat, memperlihatkan keutamaan hutang pendidikan akan semakin lambat dilunaskan.