Artikel

Maybank Dilaporkan Pertimbang Perolehi 31% Pegangan Minoriti Dalam Etiqa – Bagi Pemilikan Penuh

Maybank kini dilaporkan sedang meneroka beberapa pilihan strategik pada operasi anak syarikatnya, Etiqa. Antaranya termasuklah memperolehi 31% pegangan minoriti yang dimiliki Ageas. Menerusi perolehan tambahan dan pegangan semasa Maybank yang kini sekitar 69% dalam Etiqa, ia secara langsung akan membawa kepada pemilikan penuh.

Aturan ini turut merangkumi pertimbangan Maybank pada langkah strategik baharu termasuklah penelitian rakan kongsi baharu selain Ageas bagi meluaskan rangkaian khidmat insurans.

Sekiranya langkah ini direalisasikan, ia berupaya meletakkan nilai Etiqa sekitar $4 bilion (RM17.72 bilion). Akan tetapi mengikut laporan Bloomberg ini, pertimbangan masih di fasa awal dan tiada keputusan muktamad dicapai pada peringkat operasi.

Selain Malaysia, Etiqa turut tersedia pada pasaran Singapura, Indonesia, Kemboja dan Filipina melibatkan penyelesaian insurans konvensional dan patuh-syariah. Ketika ini terdapat 44 cawangan fizikal dimiliki operasi bersama lebih 10,000 ejen di pasaran.