Berbanding tahun lalu, jumlah hutang kerajaan Persekutuan kini memperlihatkan peningkatan apabila setakat akhir September 2024 – didapati jumlah hutang negara kini mencapai RM1,239.1 bilion atau mewakili 63.7% daripada KDNK negara.
Peningkatan itu menurut Kementerian Kewangan (MOF) didorong hasil keperluan pentadbiran untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan.
Pembiayaan ini secara langsung akan meningkatkan paras hutang negara selagi mana kedudukan kewangan kerajaan mengalami defisit. Pentadbiran terus optimis untuk mengurangkan kadar defisit fiskal kepada 3.8% daripada KDNK sebagaimana yang dimaklumkan pada belanjawan 2025 tempoh hari.
Selaras dengan pengurangan defisit, hutang baharu kerajaan telahpun berkurang daripada RM100 bilion (2022) kepada RM92.6 bilion (2023) dan dianggarkan aakan terus berkurang kepada RM84.7 bilion (2024) dan kepada RM80 bilion pada 2025.
Sementara itu, jumlah liabiliti pula adalah sebanyak RM369.3 bilion setakat akhir Jun 2024 lalu.
Berlandaskan komitmen itu, untuk makluman umum pentadbiran terus konsisten melunaskan obligasi bayaran hutang yang matang bersama faedah mengikut jadual yang ditetapkan. Di mana setiap tahun kerajaan perlu laksana pinjaman bagi biayai defisit fiskal dan bayaran balik hutang yang matang mengikut kedudukan kewangan kerajaan yang masih defisit.
Aturan itu adalah dibenarkan di bawah akta-akta berkaitan pengurusan hutang kerajaan Persekutuan.