Prestasi pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat terus meningkat apabila melonjak 20% kepada RM57.57 bilion setakat September 2024 lalu. Di mana untuk suku ketiga sahaja telah meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM19.67 bilion berbanding RM14.67 bilion yang dicapai pada suku ketiga tahun lalu.
Jelas pengurusan KWSP, pengukuhan ini didorong hasil strategi pelaburan yang seimbang melibatkan portfolio merentasi pelabagai kelas aset utama dengn KDNK negara naik sebanyak 5.9% pada suku kedua diikuti FBM KLCI pula dengan pulangan sebanyak 13% setakat tahun ini.
Sebagai perincian, pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama dengan menjana RM18.32 bilion. Kedudukan itu mencerminkan pengurusan dana lebih cekap tatkala negara berdepan ketidaktentuan pasaran.
Tidak hanya itu, pasaran global secara amnya menunjukkan prestasi yang positif sepanjang tahun ini diikuti kitaran pelonggaran kadar faedah dengan Rizab Persekutuan AS (Fed AS) menurunkan kadar faedah mereka sebanyak 50 mata asas pada September lalu.
Secara menyeluruh jumlah aset pelaburan KWSP adalah 1.22 trilion dengan 62.2% dan 37.8% diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara. Bagi suku ketiga lalu, didapati pelaburan luar negara telah menyumbang sebanyak RM10.50 bilion meliputi 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan yang diraih.
Mengikut taburan jumlah pendapatan pelaburan tersebut, sekitar RM48.02 bilion adalah dijana untuk Simpanan Konvensional manakala RM9.55 bilion pula untuk Simpanan Syariah.
Sementara mengikut pertumbuhan penyertaan pencarum dalam KWSP pula – dalam tempoh yang sama didapati telah mencatatkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 364,3564 kepada 16.1 juta setakat September lalu. Ini sekaligus membawa kepada pencarum akhitf seramai 8.69 juta mewakili 50.4% daripada 17.24 juta tenaga kerja di Malaysia.
Tidak sekadar pekerja, pendaftaran majikan baharu juga turut meningkat kepada 612,889 ahli bersama sumbangan yang diterima naik kepada RM25.2 bilion setakat suku ketiga lalu.