Artikel

MOF: Harga Barang Mungkin Naik, Pada Sektor Tertentu – Kesan Peningkatan Cukai Mulai 2025

Walaupun paras inflasi negara kini telah mereda pada 1.8% setakat September lalu, pentadbiran menjangkakan akan berlakunya peningkatan harga pada sebilangan barangan libatkan beberapa sektor ekonomi negara. Jangkaan ini susulan pelarasan naik cukai yang akan berlaku pada 2025 kelak.

Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen hari ini menjelaskan, kenaikkan harga itu disasar akan berlaku pada kadar terkawal dan akan menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan B40 negara. Ini termasuklah aturan pemberian subsidi bersasar yang akan dinikmati golongan B40 bersama kumpulan yang berkelayakan.

Selain isu percukaian, jelas Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying – kenaikan harga barangan tersebut turut berpotensi dipengaruhi faktor luaran seperti harga komoditi dan isu rantaian bekalan.

Berlandaskan persekitaran itu, MOF melihat tindakan melaras naik paras gaji minimum kepada RM1,700 adalah wajar untuk meluaskan lagi pendapatan boleh guna rakyat negara. Aturan itu sekaligus membantu ramai pihak menangani kos sara hidup mereka dengan lebih baik.