Persembahan kreatif dan muzik di pasaran semasa tidak sekadar bertujuan menghiburkan peminat bahkan ia turut memberi manfaat yang besar pada limpahan ekonomi sesebuah negara termasuklah di Malaysia. Menjelang 2025, dianggarkan sekitar 200 konsert bakal diadakan di negara – lebih menarik 21 konsert daripadanya adalah melibatkan kemasukan dari artis luar negara.
Menerusi rekod yang dikongsikan Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) ini, pra pemohonan penganjuran konsert pada tahun hadapan menunjukkan sebanyak 21 konsert artis luar negara akan dilaksanakan di Malaysia dengan penyertaan 160,500 penonton. Penganjuran tersebut dijangka dapat memberi limpahan ekonomi sekitar RM80.25 juta pada pasaran tempatan.
Di mana kemasukan artis luar negara ini turut akan merancakkan sektor pelancongan merangkumi perhotelan, sewaan, pengangkutan, perkhidmatan dan makanan.
PUSPAL memaklumkan rekod ini adalah setakat 31 Oktober 2024 lalu, dijangka ia akan alami pertambahan susulan syarat permohonan untuk laksana konsert di Malaysia adalah 14 hari sebelum konsert diadakan.