Yum Brands kini memaklumkan jualan Kentucky Fried Chicken (KFC) bagi rangkaian di seluruh dunia memperlihatkan kejatuhan mendadak – apabila mencatatkan kemerosotan jualan bagi tiga suku berurutan, merudum 5%. Situasi ini antaranya dipengaruhi kesan permintaan yang lebih perlahan di beberapa pasaran antarabangsa serta saingan penawaran harga makanan dalam industri makanan segera.
Umum ketahui, selain McDonalds dan pemain jenama makanan segera lain – KFC juga turut berdepan isu penurunan permintaan susulan konflik Timur Tengah. Menurut Reuters, tidak hanya di Malaysia, kesan tersebut didapati pada pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Asia Barat.
Maka untuk mengimbangi tekanan tersebut, penawaran harga dan diskaun yang lebih efektif sedang dilaksanakan Yum bagi meningkatkan semula permintaan semasa jenama makanan segera di bawah penguasaannya. Setakat ini, hanya Taco Bell yang memperlihatkan peningkatan jualan bagi suku ketiga untuk rangkaian antarabangsa.
Berfokuskan kepada pasaran tempatan pula, operasi KFC di Malaysia – di bawah QSR telah memperlihatkan pengecilan operasi buat sementara waktu sejak April 2024 lalu. Aturan sedemikian adalah tindak-balas operasi untuk atasi isu tekanan kos, disamping menyeimbangkan keuntungan bagi jangka pendek. Susulan tindakan itu, dianggarkan ketika ini terdapat lebih 500 cawangan KFC tersedia di pasaran negara berikutan penutupan 100 cawangan pada langkah tersebut.