Artikel

MOF Pertimbang Guna MyKad, Dompet Digital – Pada Pelaksanaan Subsidi RON95 Bersasar

Terdapat pelbagai pendekatan saluran kini sedang diteliti kerajaan berhubung pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar yang akan dilaksanakan pada pertengahan 2025 kelak. Antara saluran yang kini dalam pertimbangan adalah MyKad dan saluran dompet digital di pasaran negara.

Penelitian ini menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Dewan Rakyat hari ini adalah penting untuk memastikan golongan yang benar-benar layak akan manfaat subsidi bahan api tersebut. Aturan itu juga perlu dilaksanakan dengan berkesan sebagaimana yang dilaksanakan ke atas penyasaran diesel sebelum ini.

Buat pengetahuan menerusi aturan subsidi bersasar ini – didapati penurunan mendadak telah berlaku pada penjualan diesel iaitu 25% hanpir 7 juta liter sehari. Ia mencerminkan berlakunya pengurangan secara aktif tindakan penyeludupan. Manakala jualan diesel secara komersial pula dilihat naik hampir 50% iaitu 4 juta liter sehari, diikuti negara telah berjaya menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.

Adanya lanjutan penyasaran ke atas subsidi RON95 ini, Malaysia dijangka meraih penjimatan sehingga RM8 bilion setahun sekiranya isu ketirisan melibatkan penggunaan petrol kalangan warga asing, kumpulan komersial dan golongan kaya ini berjaya ditapis.

Jelas MOF, pendekatan menggunakan MyKad dan dompet digital pada agihan subsidi RON95 ini telahpun dilaksanakan secara projek rintis selain kaedah fleet card sepertimana yang diterapkan dalam penyasaran diesel. Namun keputusan menyeluruh akan pelaksanaan tersebut masih diteliti dan akan dimaklumkan kelak setelah mencapai kesepakatan dan bersesuaian dengan rakyat negara yang berkelayakan.