Artikel

Aplikasi MyJalan Terima Lebih 20,000 Aduan – Isu Jalan Berlubang Jadi Kategori Tertinggi

Selain perlu memandu dengan cermat dan mengikuti arahan lalu lintas – tahap keselamatan dan kualiti jalan raya di negara juga perlu ditahap yang terbaik, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Buat pengetahuan umum, sehingga 30 September 2024 lalu – aplikasi MYJalan yang bertindak selaku pengukur tahap keselamatan dan keselesaan jalan raya di negara telah menerima 20,042 aduan melibatkan isu kerosakan jalan raya.

Perihal ini untuk makluman memaparkan kategori Jalan Berlubang menjadi kategori tertinggi (39,57%), diikuti Jalan Rosak (18.06%), Lampu Jalan (16.35%) dan Lampu Isyarat (10.53%).

Situasi ini sekaligus menuntut penambahbaikan dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan pengguna jalan raya di Malaysia. Ia tidak sekadar melibatkan pemandu kenderaan bahkan pejalan kaki juga turut berpotensi menerima kesan yang malang.

Berdasarkan jumlah aduan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan hanya 6,019 aduan (30%) sahaja di bawah seliaan KKR dan agensi mereka seperti Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Sementara baki 14,023 aduan (70%) pula adalah di luar bidang kuasa KKR.

Jelas KKR, 70% aduan di luar bidang kuasa mereka telahpun disalurkan kepada jabatan yang bertanggungjawab. Ia meliputi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Pengairan dan SaliranĀ  serta Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak.


Berasingan pada jumlah aduan itu, KKR turut memaklumkan pihaknya kini membangunkan Aplikasi Sistem Pemantauan Jalan Berlubang (ASaPP). Di mana penggunaan aplikasi dijadikan sebagai perantara untuk memantau kerja pembaikan jalan berlubang. Lebih menarik, kerja pembaikan yang didaftar pada sistem ini perlulah dibaiki segera dalam tempoh 24 jam.

Menerusi aturan itu, ia akan meningkatkan lagi kecekapan isu kerosakan yang berlaku di jalan raya seluruh negara. Mengikut rekod sebanyak 2,990 jalan berlubang di Semenanjung Malaysia telah dibaiki dengan segera diikuti 38,039 jalan berlubang telah diselesaikan di Sabah, Sarawak dan Labuan.