Seiring dengan pertambahan sokongan tunai pada Belanjawan 2025 bulan lalu, kini permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula dibuka (5 November) buat rakyat negara. Di mana pembukaan permohonan baharu ini akan dibuka sepanjang tahun. Namun bagi melayakkan meraih bantuan tunai Fasa 1 – permohonan haruslah dilaksanakan sehingga 30 November 2024 ini.
Makluman yang dikongsikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini, dijangka akan memberi manfaat kepada 60% penduduk dewasa di Malaysia. Mengikut perincian bajet, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima RM100 sebulan pada tahun hadapan.
Permohonan baharu ini terbuka kepada pihak yang tiada rekod dalam sistem STR 2024, disusuli kumpulan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah atau berpendapatan RM2,500 ke bawah bagi kumpulan bujang atau tiada pasangan dan tiada anak.
Secara menyeluruh terdapat 4 fasa agihan bayaran STR yang berpotensi dilaksanakan pada Februari, April, Ogos dan November 2025 kelak. Maka untuk tindakan lanjut, semua pihak boleh layari portal LHDN HASiL untuk melaksanakan permohonan bagi meraih manfaat di bawah STR 2025.