Artikel

Golongan Kaya Di Malaysia Perlu Miliki RM3.6 Juta – Jika Ingin Pencen Dengan Selesa

Golongan orang kaya di Malaysia menyatakan mereka perlu memiliki sekurangnya RM3.63 juta, purata simpanan persaraan sekiranya ingin pencen dengan selesa. Angka ini tertumpu kepada kumpulan orang kaya yang memiliki aset boleh labur antara $100,000 sehingga $2 juta iaitu sekitar RM434,000 sehingga RM8.68 juta – mengikut pengamatan Laporan Kualiti Hidup HSBC 2024.

Tinjauan sedemikian memperlihatkan 84% golongan ini telah bersedia akan perancangan kewangan yang kukuh, di mana peratusan ini lebih tinggi berbanding purata global diparas 72%. Lebih menarik, biarpun telah mencapai pelan kewangan yang stabil – data menjelaskan sejumlah 48% orang kaya kekal berpendirian akan bekerja meskipun telah bersara.

Selain persaraan, tumpuan perancangan akan sokongan kesihatan juga turut menjadi tumpuan golongan ini. Di mana secara purata sekitar 82% telah memiliki perancangan akan perlindungan kesihatan ke atasi diri dan keluarga mereka.

Walaupun terdapat persediaan perlindungan itu, golongan ini turut memiliki kebimbangan akan peningkatan kos sara hidup semasa – yang berupaya meningkatkan kadar inflasi sekaligus menjejaskan persiapan mereka.

Sementara itu, mengikut taburan negara didapati nilai purata persaraan di Malaysia (RM3.6 juta) adalah lebih rendah berbanding dengan beberapa negara lain – Hong Kong (RM4.72 juta), Singapura (RM4.29 juta), dan Taiwan (RM4.07 juta). Namun lebih tinggi berbanding India (RM1.7 juta) dan Indonesia (RM1.48 juta).