Artikel

Malaysia Rugi RM30.2 Bilion, Susulan Produktiviti Menurun – Kesan Penyakit Jantung, Diabetes

Selain menjadi faktor besar dengan 72% menyumbang kepada jumlah kematian pramatang di Malaysia – peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik dilihat turut memberi beban kepada ekonomi negara.

Setakat 2021 sahaja, Malaysia dianggarkan perlu menanggung sejumlah RM64.2 bilion – beban ekonomi NCD.

Jelas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beban ekonomi ini meliputi kos langsung penjagaan kesihatan yang dibelanjakan sebanyak RM12.4 bilion pada setiap tahun. Diikuti kos ekonomi negara yang terjejas secara tidak langsung. Di mana untuk jangka panjang ia memberi kerugian kepada ekonomi negara dengan prestasi tenaga kerja, produktiviti dan daya saing ekonomi semakin merudum.

Misalnya, pesakit diabetes berpotensi alami kesukaran untuk beri tumpuan atau penuhi tuntutan keperluan kerja yang intensif berikutan berdepan isu keletihan, penglihatan kabur dan peningkatan risiko jangkitan.

Buat pengetahuan umum, penyakit kardiovaskular dan diabetes telah membawa kerugian sekitar RM1.8 bilion susulan tidak dapat hadir bertugas manakala walaupun hadir bekerja – ekonomi negara telah alami kerugian RM30.2 bilion, kesan produktiviti menurun.

Maka untuk melandaikan tekanan bebanan tersebut, KKM telah mempelbagaikan langkah bagi membendung peningkatan NCD.

Sejak Julai 2022, sejumlah 4.17 juta saringan telah dilaksanakan setakat November 2024 dan didapati seramai 1.61 juta melibatkan individu berusia 18 ke atas telahpun disaring. Tidak hanya itu pelbagai agenda inisiatif dilaksanakan meliputi Kempen Perangi Gula, peralihan pendekatan sick-care kepada health-care dan kelak Pelan Langkah Kawalan NCD usahasama Bank Dunia akan dilancarkan pada 14 November kelak di sidang Parlimen Malaysia.