Artikel

MyPAKW Kini Dibangunkan Bantu Rakyat Ketahui Anggaran Kos Asas Berlandaskan Lokasi, Tanggungan Isi Rumah – DOSM

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini secara rasminya menerbitkan Indikator Kos Sara Hidup 2023 berteraskan data daripada Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 dan Indeks Harga Pengguna (IHP) 2023 yang digunakan untuk menghasilkan indikator kos sara hidup.

Buat pengetahuan umum, statistik berkaitan kos sara hidup dalam penerbitan ini adalah berdasarkan konsep dan garis panduan daripada A Methodology to Estimate the Needs of Workers and Their Families (2021) yang diterbitkan oleh International Labour Organisation (ILO).

Sebagai perincian, indikator kos sara hidup yang ini merangkumi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (KSH).

Di mana PAKW dianalisis mengikut perincian demografi seperti isi rumah, isi rumah per kapita, saiz isi rumah, negeri, daerah pentadbiran dan strata. Statistik daripada penerbitan ini menurut DOSM dapat dijadikan penanda kepada penggubal dasar, ahli akademik dan penyelidik bagi menganalisis dasar berkaitan kos sara hidup dan sosioekonomi negara.

Misalnya dapatan Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bulanan isi rumah di Malaysia pada tahun 2023 secara menyeluruh mencatatkan nilai RM4,729 dengan purata saiz isi rumah seramai 3.8 orang.

Perbandingan mengikut strata merekodkan PAKW di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding luar bandar, dengan nilai masing-masing merekodkan RM5,040 dan RM3,631. Faktor-faktor yang mempengaruhi nilai PAKW adalah saiz isi rumah, umur, jantina dan strata. Isi rumah dengan bilangan ahli yang lebih ramai memerlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk memenuhi keperluan makanan dan bukan makanan. Mengikut taburan negeri, Selangor mencatatkan nilai PAKW yang tertinggi iaitu RM5,854, diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur (RM5,468), W.P. Labuan (RM5,376), Melaka (RM5,291) dan W.P. Putrajaya (RM5,249). Negeri-negeri ini merekodkan nilai PAKW melebihi paras nasional pada RM4,729. Sebaliknya, nilai PAKW terendah pula direkodkan di Perak dengan nilai RM3,727, diikuti oleh Kedah (RM3,787), Perlis (RM3,818), Pahang (RM3,949) dan Negeri Sembilan (RM3,987).

Manakala Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bulanan isi rumah per kapita merujuk kepada perbelanjaan bagi setiap individu dalam sesebuah isi rumah pula menunjukkan di peringkat nasional, PAKW bulanan isi rumah per kapita mencatatkan RM1,314 dengan kawasan bandar merekodkan nilai melebihi luar bandar sebanyak RM496 (Bandar: RM1,423 dan Luar Bandar: RM927). Nilai ini dipengaruhi oleh purata saiz isi rumah nasional iaitu 3.7 orang bagi bandar dan 4.0 orang bagi luar bandar.

Selari dengan PAKW isi rumah, W.P. Kuala Lumpur dan Selangor kekal merekodkan nilai PAKW isi rumah per kapita tertinggi iaitu RM1,755 dan RM1,630, diikuti oleh Pulau Pinang (RM1,471), Melaka (RM1,416) dan W.P. Putrajaya (RM1,410).

Sebaliknya, negeri dengan PAKW yang terendah di Malaysia adalah Kelantan dengan nilai RM1,018, diikuti oleh Perlis (RM1,026), Kedah (RM1,034), Terengganu (RM1,045) dan Sabah (RM1,080).

Melihat kepada pemaparan data itu, DOSM turut memaklumkan pihaknya telah membangunkan kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti faktor demografi dan lokasi, termasuk jantina, umur dan bilangan ahli isi rumah.

Oleh itu, setiap individu dan isi rumah mempunyai corak perbelanjaan yang berbeza. Kalkulator MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.

MyPAKW kini boleh dimuat turun di aplikasi Play Store atau App Store dan boleh jua diakses melalui laman portal mypakw.dosm.gov.my/.