Artikel

Malaysia Airlines Paparkan Evolusi Ikonik Pakaian Seragam Sarong Kebaya – Pada Penerbangan Terpilih Mulai 3 Nov Ini

Bersempena ulang tahun ke-50 laluan Kuala Lumpur-London, Malaysia Airlines kini pamerkan evolusi ikonik pakaian seragam mereka yang dikenali ‘Sarong Kebaya’ dalam pameran khas yang diadakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mulai 3 November sehingga 14 November kelak.

Pemaparan pakaian seragam ikonik ini untuk makluman akan memperlihatkan 6 rekaan Sarong Kebaya yang berbeza dipaparkan untuk tatapan para pengunjung. Lebih menarik kru kabin akan memakai 6 rekaan tersebut di dalam penerbangan terpilih pada 3 November sehingga 16 November ini.

Menerusi pameran itu, ia tidak sekadar menghargai sambutan 50 tahun perkhidmatan jenama di London tetapi turut menjadi sebahagian langkah menyerlahkan identiti nasional negara pada penggunaan Sarong Kebaya dalam perkhidmatan Malaysia Airlines.

Sebagai perincian pada 1963 motif corak Sarong Kebaya pada ketika itu menampilkan warna merah cili dengan reka bentuk kutu baharu tradisional bersama 9 lipatan. Diikuti 1967 pula lebih bercirikan corak tona bumi, rekaan 1972 pula memperlihatkan mulanya kemasukan motif batik, disusuli tahun 1976 menerapkan pakaian seragam berwarna hujau, biru, kuning yang memberi imbasan akan keindahan alam.

Sementara tahun 1986 pula Malaysia Airlines telah mereka semula corak batik tradisional bersama gabungan kelarai Sarawak – yang ditakrifkan corak tenunan kotak, iaitu suatu kraf yang diwarisi dalam budaya Melayu dan Asia Tenggara.

Dan pada tahun 1992, rekaan tersebut telah alami perubahan dengan penambahan corak bunga tempatan dipadankan dengan elemen batik hasil pengkarya Itali, Gherardini – yang menjadikan pakaian seragam Sarong Kebaya tersebut antara yang unik dalam perkhidmatan penerbangan dunia.