Artikel

Mulai 1 Januari 2025 – Tiada Lagi Bayaran Tunai Di KTMB

Dalam tempoh dua bulan lagi, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini memaklumkan pihaknya akan beralih ke penggunaan nirtunai (tanpa tunai) sepenuhnya bermula 1 Januari 2025 kelak – melibatkan di sektor Lembah Klang, Utara Selatan dan Pantai Timur.

Tindakan itu sekaligus menandakan tiada lagi akses pembayaran secara tunai di perkhidmatan mereka.

Pengurusan kumpulan KTMB ketika ini dalam usaha memberikan pendedahan dan kesedaran awam kepada semua pengguna khususnya kalangan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. Setakat ini, kaunter fizikalnya masih menerima transaksi tunai dan di samping itu kekal meneruskan usaha memberi pendedahan kepada pengguna akan penggunaan aplikasi KTMB Mobile (KITS).

Namun setelah fasa peralihan ini berakhir sehingga akhir Disember kelak, maka semua transaksi KTMB dimaklumkan akan dilaksanakan secara nirtunai.

Bagi mengalakkan lebih ramai menerapkan akses digital tersebut, sebanyak 500 mata railpoints secara percuma akan diberi kepada 1,000 pendaftaran terawal pada aplikasi KITS. Selain usaha penerapan nirtunai, KTMB turut meluaskan akses kios mesin tiket buat pengguna KTMB di hentian negeri termasuklah di stesen utama di Pantai Timur.