Artikel

Kerajaan Beri Tol Percuma 29 Dan 30 Oktober 2024 – Sempena Deepavali

Bersempena dengan cuti musim perayaan Deepavali yang akan disambut pada 31 Oktober ini, kini kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma selama dua hari untuk kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian), pada 29 dan 30 Oktober 2024.

Tol percuma ini akan diberikan di semua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam ini, kecuali plaza tol lebuh raya di sempadan negara iaitu – Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim. Jelas Kementerian Kerja Raya, aturan ini akan meliputi tanggungan kos berjumlah RM38 juta bersama semua syarikat konsesi yang terlibat.

Biarpun diberikan tol percuma, pengguna lebuhraya masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go atau smartTag atau RFID di plaza tol – tetapi tiada caj akan dikenakan untuk tempoh dua hari berkenaan.