Penggunaan pas My50 dilihat terus memaparkan lonjakan secara tahunan. Di mana dengan kemudahannya mengelakkan lebih ramai pengguna dari kesesakan jalan raya, ia juga memberi penjimatan dalam aspek kos perjalanan. Memahami perluasan kegunaan pas My50 ini – Prasarana kini memaklumkan pihaknya akan mengintegrasikan langganan My50 dengan Touch ‘n Go e-Wallet tidak lama lagi.
Menerusi kemudahan itu, ia dapat memudahkan pelanggan untuk memperbaharui langganan secara atas talian dan mengurangkan kesesakan di kaunter tiket di stesen.
Makluman yang dikongsikan Kementerian Pengangkutan (MOT) ini adalah tindak-balas pentadbiran akan peningkatan penggunaan pas My50 yang dilihat berlaku dari tahun ke tahun. Buat pengetahuan umum, ketika ini terdapat peningkatan langganan dua kali ganda telah dicapai oleh Prasarana – melibatkan 98,000 (2019) kepada 226,000 (2024).
Tambahan untuk tahun 2025, sejumlah RM216 juta turut diperuntukkan pada inisiatif My50 dalam bajet negara. Adanya perluasan sokongan dana ini, ia dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu pengguna pengangkutan awam pada tahun hadapan.