Isu perubahan iklim di Malaysia bukanlah suatu situasi yang baharu – namun masih terdapat 54% rakyat negara didapati kekal tidak bersedia sekiranya berlaku risiko iklim melibatkan situasi banjir, gelombang haba dan tanah runtuh.
Pengamatan di bawah Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia ini turut memperincikan secara menyeluruh 53% rakyat Malaysia sangat bimbang tentang kesan perubahan iklim terhadap generasi akan datang. Namun, tahap kebimbangan yang tinggi ini menurun dengan peningkatan usia, daripada 56% dalam kumpulan usia 18-29 tahun kepada 25% dalam kumpulan usia 65 tahun ke atas.
Ini menunjukkan tumpuan yang lebih besar terhadap pendidikan dan penglibatan dalam isu perubahan iklim perlu diberi kepada rakyat Malaysia yang lebih muda, yang lebih berkemungkinan menghadapi kesan jangka panjang dari peningkatan bencana iklim.
Selain risiko iklim sedemikian, kebimbangan melibatkan bencana seperti pokok tumbang dan lubang benam turut meningkat ke atas masyarakat negara kepada 67%. Ini disusuli kekerapan bencana sedemikian berlaku pada persekitaran di bandar negara.
Tidak hanya itu, tinjauan data ini turut menunjukkan kumpulan isi rumah B40 lebih bersedia berbanding dengan M40 dan T20 – sekiranya berlaku risiko iklim. Di mana 49% responden kalangan B40 akui miliki peruntukan, simpanan, pelan pemindahan dan sokongan kecemasan yang mencukupi jika mendepani bencana.
Berbeza dengan M40 dan T20 memperlihatkan ketersediaan kecemasan yang lebih rendah, dengan M40 (44%) dan T20 (39%). Peratusan ini sekaligus memaparkan isi rumah berpendapatan tinggi mungkin memliki jangkaan yang lebih tinggi untuk kesiapsiagaan, justeru memberi persepsi bahawa mereka kurang bersedia.