Artikel

Malaysia Kini Secara Rasmi Diiktiraf Negara Rakan BRICS – Bersama 12 Negara Lain

Malaysia kini telah diiktiraf menjadi sebahagian organisasi blok ekonomi BRICS – yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Penyertaan Malaysia ini dimaklumkan melalui akaun BRICS di platform X yang menyenaraikan terdapat 13 negara rakan kongsi diterima dalam perikatan BRICS.

Selain Malaysia, antara negara lain yang turut sertai blok ekonomi ini adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Apa Itu BRICS?

Bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kuasa politik sesebuah negara terus diperlihara tanpa dicabar akan krisis, sentimen melibatkan negara maju di Amerika Utara dan Eropah Barat – maka beberapa negara membangun telah bersepakat membentuk kumpulan yang dikenali sebagai BRIC. Di mana agenda ini tidak sekadar mengukuhkan kedudukan dan prestasi ekonomi bahkan turut ingin mengekang dominasi mata wang yang dikelola dolar Amerika Syarikat (AS) pada pasaran global.

Rentetan itu pada 2006, satu pakatan tidak formal yang dikenali BRIC telah dibentuk dan dinamakan mewakili akronim negara yang terlibat iaitu Brazil, Rusia, India dan China. Setelah itu, pada 2010 Afrika Selatan pula telah dijemput untuk menyertai BRIC menjadikan organisasi tersebut kepada BRICS.

Buat pengetahuan umum kesepakatan 5 negara ini yang juga merupakan ahli G70, telah memperlihatkan pegangan 27% kuasa membeli dalam KDNK global. Melalui penguasaan tersebut anggota negara BRICS turut miliki kelebihan dalam aspek demografi, sumber bahan mentah dan kapasiti tenaga kerja.

Selain 5 negara tersebut, beberapa negara lain turut menyertai organisasi tersebut antara yang terbaru pada 1 Januari 2024 ianya Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu. Secara menyeluruh kesepakatan BRICS turut menguasai 42% populasi daripada jumlah penduduk dunia.

Melihat pada perluasan ini, terdapat potensi untuk BRICS merealisasikan matlamat mereka mendominasi ekonomi dunia menjelang tahun 2050 kelak dan berupaya menyumbang lebih 50% daripada KDNK global menjelang 2030.