Tupperware Brands – jenama global barangan bekas simpanan makanan, kini telah bersetuju menjual perniagaannya kepada sekumpulan pemberi pinjaman pada nilai $86.5 juta. Jumlah ini meliputi $23.5 juta dalam bentuk tunai dan lebih $63 juta pula adalah libatkan pelepasan beban hutang. Tindakan ini sekaligus membatalkan langkah operasi untuk aturan lelongan aset mereka di pasaran terbuka.
Hasil persetujuan penjualan perniagaan menurut laporan Reuters, membolehkan kumpulan peminjam meraih nama jenama dan operasi kumpulan di pelbagai pasaran utama. Ini termasuklah pasaran di Malaysia, India, Korea, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico, Brazil dan China.
Buat pengetahuan umum, bulan lalu Tupperware telah menfailkan muflis dan merancang untuk memperolehi pembeli baharu dalam tempoh 30 hari namun aturan itu telah mendapat tentangan daripada sebilangan pemberi pinjaman.
Secara menyeluruh, kumpulan pemberi pinjaman yang akan meneraju peralihan perniagaan Tupperware ini adalah Alden Global Capital, Stonehill Institutional Partners dan Bank of America.