Data sehingga September tahun ini menunjukkan terdapat lebih 4.3 juta kenderaan memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Johor-Singapura dengan membawa pungutan kutipan caj jalan (RC) sebanyak RM87,944,580.
Perkongsian data Kementerian Pengangkutan (MOT) ini jelas memperincikan secara puratanya sekitar 16,107 kenderaan dari Singapura memasuki Malaysia pada setiap hari. Selain angka itu turut dianggarkan setiap hari terdapat 89,818 perjalanan direkodkan oleh pelbagai kenderaan pada sempadan Johor Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Rekod perjalanan itu membawa kepada pecahan kereta (31,194), motosikal (53,000), komersial bas (3,531) dan komersial lori (2,093).
Melihat pada jumlah kemasukan itu, MOT optimis kutipan RC akan lebih tinggi dengan peningkatan lebihi RM100 juta disasarkan pada tahun 2024. Susulan pada tahun 2023, negara berjaya mengutip RM91 juta RC.
Hasil perolehan itu, untuk makluman umum dijelaskan bahawa setiap RM20 yang dikutip Persekutuan, sekitar RM5 akan dikembalikan semula kepada kerajaan Johor.