Dalam memastikan tahap kesihatan membabitkan 3 juta jemaah haji terus dipelihara – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Arab Saudi kini mengaturkan langkah bersama perluaskan program sijil kesihatan digital kepada jemaah haji.
Menurut makluman WHO sistem sijil dalam versi kad kesihatan digital itu dibangunkan berlandaskan prasarana utama dalam Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Global WHO – di mana ia membolehkan rangkuman maklumat kesihatan jemaah diketahui dengan mudah. Ia termasuklah keperluan ubatan, alahan, status imunisasi serta isu kesihatan yang didepani.
Adanya akses program kad kesihatan digital itu, ia memudahkan semua pihak khususnya petugas kesihatan sah di Arab Saudi untuk memantau dan memberikan rawatan lanjut kepada kumpulan jemaah terlibat.
Buat pengetahuan umum pada peringkat rintis tahun 2024 – telah memperlihatkan lebih 250 jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Oman telah menerima kad kesihatan tersebut. Berlandaskan kejayaan tersebut, kedua pihak merancangkan meluaskan inisiatif kad tersebut kepada kumpulan jemaah haji baharu kalangan negara lain.