Artikel

Sarawak: 25,000 Pelajar IPT Akan Terima Wang Saku – Pada Insentif Bajet Negeri November Ini

Seramai 25,000 pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi di seluruh negara, dimaklumkan akan meraih manfaat wang saku – pada insentif yang akan dibentangkan dalam bajet negeri November ini.

Menurut perkongsian Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang townhall di MITEC minggu ini – inisiatif bantuan tunai hanya melibatkan pelajar Sarawak yang memiliki kad pengenalan bertanda ‘K’ sahaja. Di mana hanya kumpulan pelajar ini yang layak meraih bantuan tersebut.

Buat pengetahuan umum, selain perolehan kod negeri pada kad pengenalan penduduk negeri – Sarawak dan Sabah turut memiliki penarafan kod K dan H pada kad pengenalan mereka. Perolehan kod ini hanya akan diberi jika individu lahir di Sarawak/Sabah diikuti salah seorang ibu bapa mereka adalah warga negeri. Namun jika individu tersebut lahir di dua negeri ini dan ibu bapa mereka adalah warga negeri lain – maka tiada tanda K dan H pada kad pengenalan individu tersebut.

Pengesahan kod ini untuk makluman juga adalah sebahagian daripada hak keistimewaan Sarawak dan Sabah yang ditetapkan dalam Persekutuan.

Secara menyeluruh, menerusi agihan bantuan tunai ini ia berupaya meringankan bebanan kos keperluan asas ke atas pelajar Sarawak yang berkelayakan. Usaha ini adalah tindak-balas Sarawak untuk mengembalikan semula hak penduduk negeri rentetan prestasi ekonomi negeri terus memperlihatkan peningkatan pada setiap tahun.