Bagi membolehkan pelanggan menikmati sekurangnya masa penginapan 23 jam, semua pengusaha hotel negara kini digesa selaraskan semula waktu daftar masuk dan keluar – buat kemudahan pelanggan tempatan dan luar negara.
Aturan ini menurut Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing pada kenyataan rasminya adalah untuk memastikan para pengguna meraih manfaat yang setimpal sebagaimana perbelanjaan yang disalurkan mereka.
Akan tetapi pihak kementerian akui, terdapat senario di mana sebilangan perkhidmatan hotel berdepan kekangan petugas khususnya pada bahagian kebersihan. Memahami isu trsebut pihak MOTAC akan laksana rundingan bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan penyelesaian terdekat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri ini.
Buat pengetahuan umum, setakat ini industri perhotelan bukanlah industri yang diberi keutamaan akan permohonan pengambilan pekerja asing dan kapasiti yang diraih juga adalah terhad. Situasi itu secara langsung menjadi antara faktor perolehan tenaga kerja dalam tugasan tertentu menjadi lebih perlahan.
Sementara berhubung kelompongan tenaga tempatan pula, antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah MOTAC bersama Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mewujudkan kursus penyediaan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel buat keperluan umum.
Langkah itu sekaligus, meluaskan lagi akses tenaga tempatan untuk memiliki kemahiran pada industri kebersihan dan penginapan. Malah usaha ini secara berkala turut akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel selain meningkatkan imej profesional pelancongan Malaysia.