Semua sedari, Dewan Rakyat semalam (17 Oktober) telah mencapai suara majoriti – dengan berjaya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di Malaysia.
Keputusan ini sekaligus memperlihatkan terdapat beberapa penambahbaikan akan hak kelayakan kewarganegaraan kepada kumpulan dalam kategori tertentu. Antaranya memberi kelegaan kepada anak yang dilahirkan di luar negara, yang sebelum ini dihadkan hak warganegara sekiranya bapa mereka adalah warganegara Malaysia.
Untuk perincian lanjut ini apa yang perlu anda ketahui, berikutan kelulusan pindaan pada RUU tersebut:
#1 Hak Warganegara Buat Anak – Tidak Lagi Hanya Tertakluk Kepada Bapa Warganegara
Sebelum ini, anak yang lahir di luar Persekutuan yang layak memohon warganegara adalah hanya mereka yang memiliki bapa warganegara Malaysia sahaja. Kini tidak lagi, RUU telah memperuntukkan hak yang sama kepada anak-anak yang terlibat. Ini bermakna tidak sekadar bapa warganegara Malaysia, bahkan ibu warganegara Malaysia juga membolehkan kanak-kanak yang lahir di luar negara meraih hak warganegara Malaysia.
#2 Anak Yang Lahir Di Luar Negara – Perlu Mendaftar Permohonan Warganegara Dalam Tempoh 1 Tahun
RUU kini menuntut anak-anak yang lahir di luar negara dan kalangan ibu bapanya adalah warganegara Malaysia – perlu mendaftar permohonan kewarganegaraan buat anake mereka dalam tempoh 1 tahun. Aturan ini sekaligus mempercepatkan lagi perolehan status warganegara.
#3 Had Umur Memohon Warganegara Kini Diturunkan – Daripada 21 Tahun Kepada 18 Tahun
Tindakan ini adalah selaras dengan keperluan di bawah Akta Umur Dewasa 1971, di mana perubahan tersebut berlandaskan usia mengundi di Malaysia. Tidak hanya itu, RUU turut memperuntukkan individu 18 tahun ke bawah yang peroleh hak warganegara perlu melalui pendaftaran untuk mengangkat sumpah.
#4 Anak Daripada Ibu Bapa Pemaustatin Tetap – Tidak Lagi Layak Dapat Hak Warganegara
Pindaan baharu yang diluluskan kini memperuntukkan anak yang lahir di Malaysia daripada kalangan ibu atau bapanya pemaustatin tetap di negara kelak tidak lagi layak mendapat kewarganegaran secara kuatkuasa undang-undang (KKU).
#5 Anak Baru Lahir Dijumpai, Ditinggalkan Tanpa Perlindungan – Hendaklah Dianggap Lahir Di Tempat Yang Dijumpai dan Ibunya Warganegara Sehingga Dibuktikan Sebaliknya
Jika sebelum pindaan, setiap anak yang baru lahir dijumpai atau ditinggalkan tanpa perlindungan secara automatik akan dianggap sebagai anak kepada Pemaustatin Tetap – kini tidak lagi. Di mana kumpulan anak ini perlu dianggap tempat yang dijumpai adalah tempat kelahirannya dan ibunya warganegara Malaysia – sehinggalah dibuktikan sebaliknya.
#6 Syarat Asas Bahasa Melayu Diperlukan – Buat Isteri Kepada Lelaki Warganegara
Tuntutan ini untuk makluman adalah penambahan klausa baru buat isteri kepada lelaki warganegara Malaysia. Ia selari dengan kelayakan kumpulan wanita ini untuk meraih hak kerakyatan. Difahamkan tuntutan ini hanya diperketatkan sehingga usia 60 tahun. Selepas daripada had umur tersebut diberi kelonggaran susulan aspek kesihatan.
#7 Hak Kerakyatan Wanita Bersuami Warga Malaysia Akan Terlucut – Jika Perkahwinan Dibubar Dalam Tempoh 2 Tahun Selepas Terima Hak
Menerusi RUU ini turut memperincikan, pentadbiran boleh melucutkan status warganegara wanita asing sekiranya perkahwinan mereka bersama lelaki warganegara dibubarkan. Perlucutan hak kerakyatan ini adalah dalam tempoh 2 tahun setelah menerima hak warganegara.
#8 Status Akuan Pelepasan Hak Warganegara Akan Ditahan – Jika Tidak Lepasi Syarat Tertentu
RUU turut menjelaskan pentadbiran memiliki kuasa untuk menahan atau menangguhkan pendaftaran akuan pelepasan kewarganegara kepada mana-mana kumpulan pemohon. Tindakan itu hanya akan dilakukan, jika akuan pelepasan tersebut memberi kemudaratan kepada keselamatan negara, ketenteraman awam atau isu tertentu.
#9 Terdapat 3 Perkara Dimansuhkan Pada Pindaan RUU Ini
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan terdapat 3 perkara yang dimansuhkan pada pindaan RUU tersebut – ianya merangkumi individu yang lahir sebelum awal Oktober 1962 dan ketika itu berusia di bawah 21 tahun, kumpulan ini tidak lagi wujud. Seterusnya individu yang dilahirkan di Singapura, diikuti permohonan sebelum bulan September 1971 kerana tarikh tersebut telah luput.