Hutang kerajaan Persekutuan kini memperlihatkan peningkatan kecil apabila mencatatkan jumlah RM1,227.5 bilion sehingga akhir Jun lalu. Kenaikan ini dilihat lebih kecil berbanding rekod hutang yang dimaklumkan pada April 2024 dengan RM1.22 trilion.
Mengikut perkongsian Kementerian Kewangan (MOF), bagi tempoh tempoh Januari sehingga Jun 2024, pinjaman kasar yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan adalah RM112.5 bilion – di mana lebih rendah berbanding RM128 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
Dalam hal ini, kadar pertumbuhan hutang pentadbiran telah menunjukkan trend penurunan jika dinilai secara tahunan iaitu pada kadar 8.6% (2023), 10.2% (2022) dan 11.4% (2021).
Sementara kadar pertumbuhan hutang bagi 2024 pula dijangka akan terus berkurang kepada sekitar 7.5%. Penurunan ini sekaligus seiring dengan matlamat negara untuk memastikan nisbah hutang kepada KDNK tidak lebihi 60%.
MOF turut menjelaskan, secara amnya setiap tahun pentadbiran perlu laksana pinjaman untuk biayai defisit fiskal dan membuat bayaran balik hutang yang matang berikutan kedudukan kewangan kerajaan masih lagi dalam defisit. Maka menerusi terimaan pinjaman – ia digunakan untuk membiayai defisit dan bayaran balik hutang matang. Aturan ini dibenarkan berlandaskan peruntukan yang dinyata di bawah akta berkaitan pengurusan hutang kerajaan Persekutuan.
Secara menyeluruh, paras defisit fiskal negara kini semakin menurun pada kadar 5% daripada KDNK bagi 2023 dan dijangka dapat berkurang kepada 4.3% pada tahun ini.
Defisit merujuk kepada kekurangan hasil pendapatan berbanding dengan perbelanjaan yang diperlukan
Defisit Fiskal merujuk kepada keadaan di mana perbelanjaan negara lebihi kutipan hasil pada sesuatu tempoh