Artikel

Sarawak Lancar Program Residensi Digital – Mahu Tarik Lebih Ramai Tenaga Mahir, Pelabur

Dalam usaha memajukan matlamat digital di pasaran negeri – Sarawak kini melancarkan Program Residensi Digital Sarawak (SDRP), sebagai langkah memacukan kemasukan kumpulan profesional bersama usahawan dan pelabur asing ke pasaran tempatan.

Pada pelaksanaan itu, dimaklumkan inisiatif pertama yang akan dijalankan adalah membuka permohonan De Rantau Sarawak kepada bakat digital global pada awal tahun hadapan. Dengan kerjasama dan syarat yang ditetapkan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), aturan ini akan mengukuhkan lagi matlamat negara untuk tampil selaku destinasi utama nomad digital di Asia Tenggara.

Secara menyeluruh, SDRP dijelaskan adalah langkah baharu negeri untuk memacu agenda digital Sarawak di masa hadapan bersama pelaksanaan Sarawak Technology & Innovation Sandbox (STI).

Tidak hanya itu, Sarawak turut memaklumkan akan melancarkan inisiatif Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan (AI) bagi memupuk tenaga mahir bersama keperluan bakat semasa – bagi memastikan seiring dengan permintaan pasaran ekonomi semasa.