Mana-mana pemaju dan lembaga pengarah berkaitan projek perumahan yang terbengkalai, yang telahpun disenaraihitam oleh pihak berkuasa – kelak mungkin akan disekat untuk keluar dari Malaysia.
Langkah ini menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada sidang Parlimen, adalah sebahagian daripada aturan pindaan yang akan dikuatkuasakan bagi memberi tindakan tegas kepada pihak yang terlibat – berhubung isu perumahan terbengkalai di pasaran negara.
Tidak hanya itu, maklumat pihak yang terlibat ini turut akan dipaparkan dalam sistem bank data perumahan negara (TEDUH) sebagai rujukan lanjut buat pihak berkepentingan seperti pembeli dan pihak bank pembiaya. Aturan itu sekaligus menjadi langkah awal untuk semua pihak tidak dimanipulasi akan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Menerusi insiatif melaksanakan pindaan ke atas Akta 118 ini – KPKT optimis usaha ini akan menyediakan pendekatan dan kaedah terbaik bagi melindungi hak pembeli yang terlibat, kesan daripada projek perumahan terbengkalai.
Secara menyeluruh, setakat 30 September lalu – sebanyak 113 projek perumahan swasta terbengkalai meliputi 30,071 unit rumah dan 15,952 pembeli telah direkodkan. Di mana daripada jumlah itu, 72 projek terbengkalai adalah rumah bertanah (64%), 36 projek rumah strata (32%) dan 5 projek libatkan kategori rumah bercampur (4%).