Artikel

Jualan Kenderaan Di Malaysia Jatuh 15% – Pada September Lalu

Bulan September memperlihatkan berlakunya penurunan pada jumlah jualan kenderaan di pasaran Malaysia. Di mana mencatatkan jualan 58,032 unit berbanding 68,174 unit yang direkodkan pada bulan yang sama tahun 2023. Catatan ini sekaligus menunjukkan berlakunya kejatuhan 15% jualan.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kemerosotan ini didorong hasil penurunan 14% jualan libatkan kenderaan penumpang kepada 52,922 unit – diikuti penurunan 23% jualan kenderaan komersial kepada 5,110 unit.

Sebagai perbandingan secara bulanan, jumlah ini 20% lebih rendah berbanding jualan kenderaan yang dicapai pada Ogos 2024 iaitu sekitar 72,367 unit.

Situasi penurunan ini mengikut pengamatan MAA didorong berikutan tempoh bulan bekerja pada September diamati lebih singkat, disusuli pengguna menangguhkan rancangan pembelian kereta merekauntuk menanti insentif tambahan yang akan dibentangkan pada sidang Belanjawan 2025 ini.

Melihat pada tingkah-laku itu, MAA menjangkakan prestasi jualan kenderaan pada Oktober 2024 akan lebih tinggi setelah semua pengguna meraih gambaran menyeluruh pada sesi bajet kelak.